Pejuang Malaysia


Bismillah hirrahmannirahim.

Ini merupakan sebahagian dari kisah pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pahlawan-pahlawan negara dimana mereka sanggup mempertaruhkan jasad dan nyawa mereka demi mempertahankan maruah dan nama negara Malaysia yang tercinta.

Semoga ia dapat menjadi renungan dan pengorbanan para pahlawan yang terdahulu tidak akan kita lupakan.

Al-Fatihah kepada mereka yang telah terkorban

Allahyarham Lt. Adnan Saidi

Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya yang termuda Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara dan menetap di Kajang, Selangor.

Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI.

Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni ‘C’ .

Pertempuran di Bukit Candu

Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.

Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke 25 yang terkenal berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir.

Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.
Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni ‘C’ .

Kompeni ‘C’ merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu, bersama-sama dengan batalion ke-2 “Loyal Regiment” Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade)

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura – Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni ‘C’ dan Lt. Adnan Saidi ketika itu telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat.

Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni ‘C’. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni ‘C’ menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru – Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg pasir.

Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen “tentera Sikh” daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera Jepun berundur.

Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati. Walaupun leftenan adnan terkorban,namun lebih daripada 800 askar yang telah dibunuh oleh leftenan adnan dan regimennya.

Kematian Pejuang

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati.

Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.

Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu.

Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri.

Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung merata-rata.

Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan

Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:
“Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)…”

“After two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…”


.
PW I (B) KANANG AK LANGKAU berasal dari Kanowit, Sarawak. Pada 19 Feb 1980 Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer yang diketuai oleh Kapt Johnson ak Meling dibantu oleh Sjn Kanang ditugaskan ke kawasan tanah hitam untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD beberapa hari sebelumnya. Sjn Kanang yang mengetuai satu kumpulan berjaya menjejak sekumpulan pengganas yang dicari. Beliau melepaskan tembakan dan terus menyerbu ke kedudukan musuh. Musuh berjaya melepaskan diri dan penjejakan diteruskan oleh Sjn Kanang yang bertindak sebagai peninjau hadapan pada pagi 19 Feb 1980. Semasa bergerak, Sjn Kanang berjaya mengesan jerangkap samar yang dipasang musuh. Dalam keadaan itulah tiba-tiba mereka dihujani tembakan musuh. Sjn Kanang mempamerkan keberanian yang luar biasa dan tanpa menghiraukan kecederaannya terus menggempur ke arah musuh sambil memberikan kata-kata semangat kepada anggota-anggotanya untuk terus bertempur. Beliau mengalami kecederaan parah yang hampir meragut nyawanya. Beliau dikurniakan pingat SP pada 3 Jun 1981.

LT JEN DATO’ SERI ZAINI HJ MOHD SAID berasal dari Ulu Lenggeng, Negeri Sembilan. Semasa kejadian rompakan senjata di Batalion 304 Askar Wataniah, beliau memainkan peranan sepenuhnya dalam perancangan memujuk kumpulan Al-Maunah menyerah diri dengan menggunakan rayuan daripada isteri, anak dan anggota keluarga kumpulan perompak tersebut. Pada 6 Jul 2000, beliau menawarkan diri untuk berunding dengan ketua kumpulan perompak. Dalam situasi yang amat kritikal, beliau mempamerkan keberanian serta keupayaan yang sebenar apabila berjaya menepis senjata yang dihalakan ke arahnya oleh ketua kumpulan Al-Maunah itu dan menghumbannya ke tanah sebelum diserbu oleh anggota yang lain. Tindakan nekad beliau berjaya mengakhiri kejadian tersebut apabila semua anggota kumpulan Al-Maunah menyerah diri. Beliau dikurniakan pingat SP pada 2 Jun 2001
.

KAPT HAMID AWANG berasal dari Kuala Terengganu, Terenggnu. Hasil daripada maklumat perisikan yang menyatakan seramai 40 ke 50 pengganas komunis akan berkumpul di Gunung Pueh, Kompeni D 2 RAMD diketuai oleh beliau ditugaskan ke kawasan tersebut. Pada petang 7 Apr 1973, mereka berjaya mengesan satu perkhemahan musuh dan beliau terus mengambil tindakan untuk melancarkan serangan ke atas khemah tersebut. Kapt Hamid memulakan serangan dengan tembakan senjata M 79 dan meluru ke arah kedudukan musuh. Dalam situasi pertempuran itu, seorang pengganas cuba untuk menembak salah seorang anggota. Kapt Hamid dengan berani dan tanpa menghiraukan keselamatan diri bertindak nekad dengan menerkam ke arah pengganas tersebut dan memukul lehernya dengan senjata M 79. Kumpulan Kapt Hamid berjaya membunuh tiga orang pengganas komunis, merampas tiga laras senjata automatik, peluru dan peralatan lain manakala seorang anggotanya terkorban. Beliau dikurniakan pingat SP pada 6 Jun 1973.
.

.
ALLAHYARHAM MEJ ZAINAL ABDUL RASHID berasal dari Pantai Remis, Perak. Pada 15 Jul 1976 beliau dan lima anggotanya berjaya mengesan sekumpulan 15 pengganas komunis setelah mengekori pergerakan mereka. Setelah membunuh dua pengganas komunis dengan tembakan semburan, Kapt Zainal meluru dengan berani ke arah musuh sambil memberi kata-kata semangat agar anggotanya terus berjuang. Di masa itu seorang pengganas wanita yang tercedera telah membaling sebutir grenad dan mencederakan Kapt Zainal. Keberaniannya yang luar biasa dan daya kepimpinannya yang tinggi membakar semangat juang anggota-anggotanya menggempur musuh. Mereka berjaya membunuh enam daripada 15 orang pengganas dan merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain. Kapt Zainal telah gugur dalam pertempuran itu. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1977.
.

KAPT MOHANA CHANDRAN AL VELAYUTHAN berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Kumpulan tinjau khas berkekuatan 23 orang diketuai oleh Kapt Mohana Chandran ditugaskan ke kawasan Hutan Simpan Ulu Kinta untuk menjejak pengganas komunis. Pada 13 Jun 1971, semasa sedang mendaki sebuah bukit, mereka berjaya mengesan tiga orang pengganas berhampiran sebuah perkhemahan pengganas yang besar di kawasan hutan tersebut. Kapt Chandran bersama Rjr Abang Bolhi bin Abang Doladi melepaskan tembakan. Tembakan balas musuh telah mencederakan Rjr Bolhi. Pertempuran tersebut turut dibantu oleh Rjr Bajau ak Ladi. Melihat kedatangan Rjr Bajau yang datang membantu, Kapt Chandran bergerak dengan berani tanpa menghiraukan risiko merapati kedudukan musuh yang berkekuatan lebih besar sambil diberi tembakan perlindungan oleh Rjr Bajau. Musuh yang berada di atas bukit membalas tembakan dan terkena kepala Kapt Chandran. Beliau meninggal dunia di tempat pertempuran. Beliau dikurniakan pingat SP pada 7 Jun 1972
.

.
LT M ABD HAMID ISMAIL berasal dari Kampung Teluk Malik, Jitra Kedah. Pada 8 Sep 1973 kumpulan ronda seramai sembilan orang pimpinan Lt M Abd Hamid berjaya mengesan sekumpulan pengganas yang sedang berehat. Setelah mengambil kedudukan, Lt M Abd Hamid memulakan pertempuran dengan melepaskan tembakan pertama dan mencederakan seorang pengganas. Musuh yang tercedera berundur dengan pantas dari kawasan pertempuran. Dalam usaha menyusun anggotanya untuk serangan ke kedudukan musuh, Lt M Abd Hamid yang dalam keadaan berdiri telah ditembak di bahagian perut oleh seorang pengganas. Beliau terkorban dalam pertempuran tersebut. Seorang pengganas berjaya dibunuh, selaras tommy gun madson 645 bersama peluru dan lima beg galas berjaya dirampas di tempat kejadian. Beliau dikurniakan pingat SP pada 4 Jun 1975.
.

LT M ABD RAZAK HUSAIN berasal dari Kampung Tawang, Bachok, Kelantan. Pada 1 Nov 1970 bertindak daripada maklumat mengenai kesan pergerakan pengganas komunis, Ketua Platun Harimau (Tiger Platoon) 8 RAMD, Lt M Abdul Razak diarah melakukan rondaan mencari dan memusnahkan musuh. Lt M Razak mengambil tindakan mendahului kumpulan ronda dan apabila menghampiri sebuah bukit kecil, mereka ditembak oleh musuh yang berada di atas bukit. Menyedari keadaan yang mereka dikepung oleh musuh, Lt M Razak melepaskan tembakan senjata SLR ke arah kedudukan senjata LMG musuh. Tembakan bertubi-tubi musuh menghujani kedudukan kumpulan Lt M Razak. Beliau tidak mempunyai pilihan lain untuk mengurangi tekanan musuh keatas pasukannya dan dengan keberanian yang luar biasa, beliau bangun berdiri sambil menembak ke arah musuh untuk melindungi anggota-anggotanya yang langsung tidak mempunyai perlindungan. Dalam usaha tersebut, Lt M Abdul Razak terkena tembakan pengganas dan terkorban ditempat kejadian. Beliau dikurniakan pingat SP pada 2 Nov 1971.

PW II LENGGU AK CINA berasal dari Sungai Baloh, Ngemah, Kanowit, Sarawak. Pada 20 Jan 1971 semasa menjalankan operasi di Sungai Katibas, PW II Lenggu bersama kumpulan yang diketuai oleh Lt M Anuar Basha Khan Akaria diserang hendap di Tanjung Batu ****. Tembakan musuh tidak menghalang PW II Lenggu merapati tebing sungai dan menggempur kedudukan musuh. Kumpulan PW II Lenggu berjaya membunuh empat orang pengganas komunis dan memaksa mereka meninggalkan kedudukan. Pasukannya mengalami tujuh kematian manakala dua anggota termasuk Lt M Anuar Basha tercedera. Selaras senjata bersama 30 butir peluru 303 dan dokumen pengganas merupakan antara kelengkapan musuh yang berjaya dirampas di tempat kejadian. Beliau dikurniakan pingat SP pada 2 Jun 1971.
.

KPL MAT AZNAN AWANG berasal dari Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah. Pada 4 Okt 1993 Allahyarham Kpl Mat Aznan terlibat dalam misi menyelamat 70 orang US Rangers dan lima orang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung di kawasan Bakara Market oleh militia Farah Aideed. Kereta perisai yang dipandu oleh Allahyarham ditembak dengan senjata anti kereta kebal dari arah hadapan menembusi cermin kalis peluru dan terkena bahagian bahu kiri Allahyarham serta mencederakan sembilan anggota yang lain. Dalam peristiwa ini, empat buah Kereta Perisai Pengangkutan Anggota (KPPA) jenis Condor juga Musnah. Usaha menyelamat anggota tentera Amerika Syarikat ini telah dilaksanakan dengan cemerlang oleh anggota MALBAT. Kpl Aznan meninggal dunia. Beliau dikurniakan pingat SP pada 4 Jun 1994.

LKPL SAIMON TARIKAT berasal dari Kampung Parit Rambai Ulu, Pontian, Johor. Pada 25 Jan 1983 berdasarkan kepada maklumat tentang aktiviti pengganas komunis, anggota PKPT seramai 12 orang diatur gerak dalam misi khas di Kampong Titi. Kumpulan ini dipecahkan kepada tiga kumpulan kecil. Dalam keadaan samar di waktu malam, LKpl Saimon dan seorang rakannya melihat dua orang pengganas komunis sedang menuruni bukit. Tanpa berlengah mereka melepaskan beberapa tembakan. Di waktu itu, seorang pengganas wanita menjerit supaya kawannya melarikan diri. Dalam situasi genting itu, LKpl Saimon dengan berani merangkak menaiki teres bukit menghampiri wanita tersebut untuk membunuhnya. Tindakannya itu menarik perhatian seorang pengganas lelaki yang terus melepaskan tembakan dan mengenai LKpl Saimon. Beliau terkorban dalam pertempuran tersebut. Dalam operasi ini dua pengganas komunis berjaya dibunuh. Dua laras senjata bersama peluru adalah antara yang telah dirampas daripada pengganas. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1983.

TPR RASLI BUANG berasal dari Kampung Buntal Lumut, Kuching, Sarawak. Pada 6 Jul 1971 Terup No. 3, Skuadron X yang dianggotai oleh Tpr Rasli ditugaskan ke Hutan Perlop untuk misi khas memusnahkan musuh. Semasa sedang meronda, mereka ditembak oleh segerombolan pengganas komunis. Setelah dua anggota cedera ditembak, Tpr Rasli membalas tembakan musuh sambil bergerak dengan berani menghampiri rakannya yang tercedera. Ketika berbalas tembakan, sebutir peluru musuh mengenai leher Tpr Rasli dan mengorbankannya. Dalam pertempuran itu, angka kematian mahupun kecederaan bagi pihak musuh tidak diperolehi sementara Terup No. 3 mengalami dua kematian dan seorang tercedera. Beliau dikurniakan pingat SP pada 7 Jul 1972.

JEN (B) TAN SRI MOHD GHAZALI BIN CHE MAT berasal dari Lenggong, Perak. Pada 13 Nov 1957, Platun 1 Kompeni A, 2 RAMD di bawah pimpinan Lt M Ghazali bertembung dengan salah satu kumpulan yang dikenali sebagai 37/39 Platun Pembebasan dari Rejimen Ke-5 PKM. Semasa mendaki bukit untuk merapati kedudukan musuh, mereka ditembak bertubi-tubi dari atas bukit. Menyedari keadaan bahawa anggota-anggota tidak dapat membalas tembakan, Lt M Ghazali dan seorang anggotanya bernama Pbt Hassan Selati menyerbu ke arah musuh sambil melepaskan tembakan. Tindakan nekad dan berani tersebut mengejutkan musuh dan memaksa mereka berundur. Dalam pertempuran ini, dua orang pengganas komunis berjaya dibunuh. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 31 Ogos 1958.

MEJ JEN (B) ABDUL RAHMAN KHAMIS berasal dari Alor Gajah, Melaka. Pada 8 Jul 1957 hasil daripada maklumat seorang pengganas komunis yang menyerah diri, Lt Abd rahman yang memimpin Platun 11 Kompeni C, 6 RAMD diarah untuk menjejaki perkhemahan musuh. Hasil penjejakan tersebut, kedudukan musuh dapat dikesan di sebuah kawasan lembah. Beliau membahagikan platunnya kepada tiga kumpulan kecil untuk melaksanakan serang hendap ke atas pekhemahan tersebut. Setelah mengatur kedudukan, mereka menunggu di lorong yang akan dilalui oleh pengganas untuk kembali ke khemah mereka. Pada jam 1445, seorang pengganas lelaki dan wanita mula memasuki perkhemahan itu. Lt Abdul Rahman mengekori mereka dan dalam jarak 25 ela, beliau menembak dan membunuh pengganas lelaki serta mencederakan pengganas wanita. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 31 Ogos 1958.

MEJ JEN (B) DATO’ ABDUL KADIR NORDIN berasal dari Kelantan. Pada 1965 semasa OP OAK TREE yang dilaksanakan di Kota Tinggi, Lt M Abdul Kadir diarahkan untuk menawan musuh yang berkumpul di sebuah rumah kongsi. Beliau bersama-sama platunnya bergerak ke lokasi musuh pada sebelah malam untuk mengepung rumah kongsi tersebut dengan dua kumpulan penyekat dan satu kumpulan serangan. Serangan tersebut sepatutnya dimulakan dengan tembakan pistol suaran tetapi tidak berlaku kerana peluru yang ditembak tidak meletup. Dengan beranggapan kedua-dua kumpulan penyekatnya berada dalam kedudukan, Lt M Kadir meluru ke rumah kongsi tersebut dan mengarahkan musuh yang berada di dalam rumah itu keluar menyerah diri. Tindakan yang berani itu mengejutkan musuh dan seramai sembilan orang menyerah diri. Ketika mengawasi musuh keluar dari rumah tersebut barulah Lt M Kadir sedar bahawa hanya beliau dan seorang anggotanya sahaja yang menyerbu ke rumah kongsi manakala anggotanya yang lain masih belum mengambil kedudukan menyekat. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 8 Jun 1966.

MEJ JEN DATO’ ABDULLAH BABU berasal dari Yong Peng, Johor. Pada 24 Mac 1979 setelah menjumpai perkhemahan musuh, Kapt Abdullah yang mengetuai 18 anggota lain terus mengatur kedudukan untuk melancarkan serangan. Tembakan pertama daripada Sjn Mohd Zain yang terserempak dengan seorang pengganas semasa bergerak untuk menyerang. Serentak dengan itu, Kapt Abdullah dan kumpulan penyerang melepaskan tembakan bertubi-tubi dan berjaya menumbangkan seorang musuh. Terkejut dengan serangan tersebut, musuh cuba untuk melarikan diri tetapi Kapt Abdullah dan anggota-anggotanya meneruskan penjejakan dan berjaya menembak mati seorang pengganas wanita. Setelah penggeledahan dilakukan, kumpulan yang diketuai oleh Kapt Abdullah berjaya membunuh tiga pengganas, merampas sepucuk senjata SLR, peluru, risalah komunis, bahan makanan dan lapan kad pengenalan awam. Beliau dikurniankan pingat PGB pada 7 Jun 1981.

KOL (B) ISMAIL SALLEH berasal dari Alor Setar, Kedah. Pada 23 Ogos 1970 Kompeni C 6 Renjer pimpinan Mej Ismail digerakkan untuk menyekat penyusupan pengganas komunis. Musuh yang ada awalnya berundur bertindak menyerang balas dengan kekuatan lebih kurang 70 orang. Dengan bantuan tembakan artileri, Mej Ismail memimpin kompeninya untuk menggempur kedudukan musuh yang terkepung. Beliau mempamerkan ketabahan dan kecekalan yang tinggi sepanjang tujuh jam pertempuran tersebut berlangsung. Hasil daripada pertempuran ini seramai empat orang pengganas berjaya dibunuh. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Jun 1971.

KOL (B) MAURICE LAM SHYE CHOON berasal dari Pulau Pinang. Pada 12 Nov 1961 semasa pemberontak Congo seramai lebih kurang 40 orang cuba mengepung dan menyerang Mes Pegawai untuk menangkap beberapa pegawai tentera udara Itali, beliau mempamerkan keberanian dengan menggerakkan dua buah kereta perisai untuk menawan semula Mes Pegawai. Tindakan berani dan nekad Kapt Maurice berjaya menyelamatkan anggota, peralatan dan persenjataan Pasukan Khas Malaya (Malaya Special Forces (MSF) dari jatuh ke tangan tentera pemberontak Congo yang ketika itu menyerang dan mengepung Mes Pegawai termasuk Lapangan Terbang Kindu. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 5 Jun 1963.

LT KOL (B) ISMAIL GHOWS berasal dari Kampung Boyan, Taiping Perak. Pada 5 Okt 1966 berpandukan kepada maklumat tentang sekumpulan Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang akan mengadakan perjumpaan, Kompeni Markas 7 RAMD pimpinan Mej Ismail digerakkan ke kawasan yang disyaki di Kampung Jawa. Pada sebelah malam, semasa kompeni tersebut berada di tepi sebatang sungai, beliau menjumpai pakaian awam dan melihat satu pergerakan di dalam air. Dengan semangat keberanian dan keperwiraan, Mej Ismail terjun ke dalam sungai dan menerkam ke arah musuh yang bersenjata ketika itu. Beliau berjaya memberkas enam anggota TNKU setelah bergelut dengan mereka di dalam air. Setelah anggota-anggota datang membantu, Mej Ismail sekali lagi terserempak dengan dua lagi anggota TNKU dan berjaya menangkap mereka. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1967.

LT KOL AHMAD ABD RASHID berasal dari Batu 18, Kampung Tok Ya, Jitra, Kedah. Pada malam 30 Nov 1974, Kapt Ahmad bersama 11 orang anggota PKPT membuat serang hendap terhadap sekumpulan musuh daripada Unit Penggempur Ke-6 yang datang mengambil bekalan makanan. Dalam serang hendap pertama, beliau berjaya membunuh seorang pengganas wanita. Seterusnya beliau mengambil tindakan berani dengan melancarkan serang hendap kedua dan berjaya membunuh seorang lagi pengganas komunis. Peralatan pengganas yang dirampas di tempat kejadian adalah sepucuk pistol browning 9 mm bersama peluru dan ubat-ubatan. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 4 Jun 1975.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s